Pengarah Kastam Negeri Kedah Hadir Sebagai Tetamu Jemputan Sempena Pelancaran Projek NCT InnoSphere

29 SEPTEMBER 2025, Bukit Kayu Hitam – YBrs. Puan Wan Marini Binti Wan Hamzah, Pengarah Kastam Negeri Kedah telah menghadiri majlis pelancaran NCT InnoSphere, sebuah projek pembangunan perindustrian pintar yang dijangka menjadi pemacu baharu pembangunan ekonomi di kawasan Bukit Kayu Hitam. Kehadiran beliau sebagai tetamu jemputan mencerminkan sokongan padu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah terhadap inisiatif pembangunan strategik di zon sempadan negara.
Majlis ini menyaksikan kerjasama erat antara Northern Gateway Sdn. Bhd. (NGX) dan Kumpulan NCT, dengan hasrat membangunkan NCT InnoSphere di kawasan seluas 55.44 hektar yang akan dibangunkan secara berfasa. Projek berimpak tinggi ini mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.10 bilion dan bakal menjadi nadi kepada pembangunan Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) di Delapan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, YB Puan Lim Hui Ying, yang dalam ucapannya menegaskan bahawa projek ini bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan Bukit Kayu Hitam sebagai pintu masuk utama Malaysia–Thailand, malah akan melonjakkan sektor perdagangan, logistik, serta industri berasaskan teknologi hijau dan pembuatan pintar.
Sebagai agensi penguatkuasaan utama di sempadan, JKDM Kedah berperanan penting dalam memastikan segala urusan perdagangan rentas sempadan berjalan lancar serta mematuhi undang-undang negara. Kehadiran YBrs. Puan Wan Marini di majlis berprestij ini juga menandakan komitmen JKDM untuk terus mendukung agenda pembangunan ekonomi negeri dan negara.
Dengan terlaksananya projek NCT InnoSphere ini, diharapkan Bukit Kayu Hitam akan terus muncul sebagai hab perdagangan serantau yang berdaya saing, seterusnya memberikan limpahan manfaat kepada masyarakat setempat dan negara secara keseluruhannya.
©2025 Unit Korporat & Latihan | JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA (JKDM) KEDAH