YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah mengadakan lawatan kerja ke Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam, Kedah bagi meninjau perkembangan projek pembangunan strategik yang diterajui oleh syarikat Delapan, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Lawatan ini memberi tumpuan kepada cara dan kaedah memperkukuh hubungan ekonomi rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand melalui pembangunan infrastruktur logistik yang lebih cekap dan mampan. Salah satu inisiatif utama ialah pewujudan Pelabuhan Darat Bukit Kayu Hitam (Bukit Kayu Hitam Inland Clearance Depot – ICD) yang dijangka merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dua hala serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat setempat.
Taklimat mengenai pembangunan dan perancangan strategik Bukit Kayu Hitam ICD telah disampaikan oleh Encik Eu Jin Kuan, Pengarah BKH ICD, yang menjelaskan pendekatan menyeluruh termasuk pelaksanaan latihan sumber manusia, pematuhan peraturan dan daya tarikan pelabur strategik.
YB Senator Datuk Seri turut berbesar hati mendengar pandangan berkenaan pendekatan holistik yang diambil bagi memastikan kelestarian projek jangka panjang. Dalam majlis tersebut, beliau merasmikan Zon Perdagangan Bebas Bukit Kayu Hitam (Bukit Kayu Hitam Free Commercial Zone, FCZ) melalui upacara menandatangani plak sebagai simbolik sokongan penuh Kerajaan terhadap pembangunan logistik berimpak tinggi ini.
Turut hadir bersama adalah YBhg. Datuk Dr. Shahrazat Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan.