SBEZ Bukit Kayu Hitam Jadi Gerbang Baharu Ekonomi Serantau

BUKIT KAYU HITAM – Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam dan pembangunan strategik Delapan disifatkan sebagai wajah baharu ekonomi Wilayah Utara yang mampu membawa transformasi besar kepada negeri Kedah.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelaksanaan Taman Perindustrian Bersepadu Pintar NCT InnoSphere (InnoSphere) menandakan permulaan era baharu dengan menjadikan Delapan sebagai hab pusat data dan kesalinghubungan digital serantau.
“Delapan juga kini akan memasuki gelombang ketiga pembangunannya yang membawa masuk komponen perindustrian pintar dan berteknologi tinggi, sekaligus melengkapkan ekosistem sebagai sebuah zon ekonomi masa hadapan yang benar-benar strategik dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Peluncuran Taman Perindustrian Bersepadu Pintar NCT InnoSphere di Galeri Sasana Delapan, Bukit Kayu Hitam.
“Usaha ini selari dengan aspirasi KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang menitahkan agar kawasan sempadan dibangunkan sebagai hab ekonomi strategik dan mampu untuk terus berkembang demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri pada masa hadapan,” ucapnya.
Tambahnya, peluncuran projek InnoSphere seluas 127 ekar ini membuktikan kesungguhan dalam membangunkan Taman Perindustrian Bersepadu Pintar NCT InnoSphere pertama di Kedah.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Kedah untuk menjadikan SBEZ Bukit Kayu Hitam sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu.
“Kedudukan strategik SBEZ Bukit Kayu Hitam dan Delapan ini kita yakin akan menjadi katalis dalam usaha untuk mengembalikan Kedah sebagai pintu utama perdagangan dan pelaburan serantau.
“Terlalu banyak kelebihan yang ada di sini. Justeru, saya mempelawa semua pelabur sama ada tempatan mahupun antarabangsa, untuk meneroka peluang unik dan strategik yang ditawarkan oleh Delapan dan InnoSphere ‘gerbang baharu ekonomi serantau’,” jelasnya.