
KUALA LUMPUR 30 Sept – Kumpulan Syarikat NCT dengan kerjasama Northern Gateway (NGX) melancarkan taman perindustrian pintar bersepadu bernilai pembangunan kasar RM1.1 bilion, NCT InnoSphere, di Kedah.
Terletak di atas tanah zon bebas seluas 55.44 hektar, NCT InnoSphere dirancang dalam lapan fasa pembangunan, setiap satunya merangkumi gabungan komponen perindustrian, komersial dan sokongan bagi menggalakkan aktiviti operasi, perdagangan dan pembuatan yang lebih cekap.
Projek ini akan menawarkan lebih 230 premis termasuk unit berkembar separa, unit berkembar, kluster, teres dan konfigurasi binaan khas, yang direka untuk memenuhi keperluan pelbagai perniagaan merentas sektor.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata Kementerian Kewangan sebagai peneraju dasar fiskal dan pelaburan strategik, menyokong agenda ini termasuk melalui projek Delapan dalam Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di bawah NGX.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran projek yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di Bukit Kayu Hitam semalam.
Menurut Lim, pembangunan NCT InnoSphere akan terus memperkukuh kedudukan Delapan sebagai hab perindustrian serta menjadi simbol keyakinan terhadap potensi Kedah. – Bernama