NCT lancar projek industri RM1.1 bilion di Bukit Kayu Hitam

nct innosphere launch 1536x1024.jpg

Dari kiri ke kanan Razwin Sulairee Hasnan Termizi, Ketua Pegawai Eksekutif NGX; Datuk Seri Yap Ngan Choy, Pengasas & Pengarah Urusan Kumpulan NCT; Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan; Datuk Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah; Datuk Seri Norizan Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah; Datuk Zamzuri Abdul Aziz, Pengerusi NGX; dan Datuk Yap Fook Choy, Pengarah Eksekutif Kumpulan NCT pada majlis pelancaran rasmi NCT InnoSphere, Taman Industri Terurus (MIP) bertauliah pertama di Utara Malaysia, yang terletak di Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan (SBEZ) Bukit Kayu Hitam, Kedah. Pembangunan mercu tanda ini dijangka memperkukuh perdagangan rentas sempadan, menarik pelaburan global dan memacu pertumbuhan industri mampan di rantau ini.

 

ALOR SETAR: Pembangunan industri di utara tanah air mendapat suntikan baharu apabila Kumpulan Syarikat NCT dengan kerjasama Northern Gateway (NGX) melancarkan projek NCT Innosphere, Taman Industri Terurus (MIP) bertauliah pertama di Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan (SBEZ) Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Projek seluas 55.4 hektar itu dibangunkan di zon bebas berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, sekali gus menjadikannya pintu masuk dagangan darat utama yang menghubungkan Koridor Utara dengan pasaran serantau. Lokasinya berdekatan Pelabuhan Pulau Pinang turut menambah kelebihan strategik.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT, Datuk Seri Yap Ngan Choy, berkata projek itu bukan sahaja menjana nilai ekonomi jangka panjang, malah menyokong aspirasi negara untuk memperkukuh perdagangan rentas sempadan dan kepelbagaian saluran logistik.

“NCT Innosphere adalah lonjakan strategik. Ia dibangunkan untuk memanfaatkan kekuatan perdagangan rentas sempadan, kecekapan logistik dan infrastruktur pintar. Pada masa sama, ia menjadi platform penting bagi pertumbuhan industri maju seperti semikonduktor, elektrik dan elektronik serta logistik pintar,” katanya dalam kenyataan.

NGX selaku pemilik tanah dan pemudah cara pula bertanggungjawab menyediakan infrastruktur asas, utiliti dan penyelarasan kawal selia.

“Setiap tahun hampir 1.3 juta lori melintasi Bukit Kayu Hitam–Sadao dengan dagangan bernilai hampir RM70 bilion. Innosphere akan menjadi titik sentuhan pertama untuk konsolidasi, pemasangan ringan atau pembuatan berskala penuh. Ia juga berada dalam rangkaian lebih 60 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang membuka akses ke pasaran global,” katanya.

Projek berfasa lapan itu menawarkan lebih 230 unit industri dalam pelbagai konfigurasi termasuk unit berkembar, sesebuah, berangkai dan binaan khas, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.1 bilion.

Sebagai komitmen kepada kelestarian, NCT Innosphere menjadi MIP pertama di Utara Malaysia menerima Sijil Sementara GreenRE Perak yang menekankan pembangunan mesra alam serta berdaya tahan.

Projek itu turut dilengkapi pusat sehenti untuk pelabur dengan perkhidmatan bersepadu termasuk sokongan pelesenan, pelepasan duti, proses kastam terselaras dan akses insentif rentas sempadan bersama agensi seperti MIDA dan NCER Malaysia.

Sebelum ini, Kumpulan NCT melakar kejayaan menerusi Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) di Selangor yang dilancarkan pada 2023, mencatat jualan 80 peratus pada fasa pertama serta menerima pengiktirafan termasuk penarafan Lima-Berlian Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 dan Anugerah Kelestarian CEO Asia Pasifik.

Kejayaan NSIP menjadi pemangkin kepada pelancaran projek kedua ini, dengan Kumpulan NCT yakin mampu mengulangi rekod pencapaian sekali gus mencorakkan landskap baharu pembangunan perindustrian negara.

Sejak ditubuhkan pada 1985, Kumpulan NCT berkembang daripada pengeluaran jubin kepada pembinaan, hartanah dan kini perindustrian. Syarikat itu turut dikenali sebagai pemulih projek terbengkalai (White Knight) selain penerima pelbagai anugerah industri di dalam dan luar negara.