Menghadiri Majlis Pelancaran Pembangunan Taman Perindustrian Bersepadu Pintar NCT InnoSphere di Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam, yang telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Kedah. Majlis ini menjadi titik penting sebagai salah satu langkah besar negeri Kedah dalam membuka lembaran baharu pembangunan ekonomi bertaraf global.
Zon ekonomi baharu di Bukit Kayu Hitam ini mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab perdagangan serantau dan pintu masuk utama pelaburan bernilai tinggi. Dengan kedudukan strategik di sempadan Malaysia–Thailand serta akses segera ke pasaran ASEAN, projek ini bakal menarik lebih banyak syarikat teknologi, industri moden dan pelaburan asing yang akan memperkukuh daya saing negeri Kedah.
Pelancaran InnoSphere hari ini menandakan bermulanya konsep taman perindustrian pintar yang menyokong sektor industri berasaskan teknologi tinggi dan lestari. Ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan transformasi landskap perindustrian Kedah ke arah yang lebih moden, mampan dan bernilai tambah. Usaha ini juga akan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda Kedah.
Kerajaan Negeri Kedah komited untuk terus merancang dan melaksanakan agenda pembangunan strategik seperti ini agar Bukit Kayu Hitam benar-benar menjadi zon pertumbuhan baharu yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. InsyaAllah dengan kerjasama semua pihak, kita akan dapat menjadikan Kedah sebagai hab pelaburan serantau yang disegani dan penjana ekonomi negara.