Kerajaan Pusat sokong SBEZ Bukit Kayu Hitam

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat akan terus menyokong projek pembangunan hartanah di Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa, berkata projek itu meliputi kawasan seluas hampir 4,775 hektar merupakan satu inisiatif berimpak tinggi yang dirancang bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Kedah.

Katanya, penglibatan secara langsung Kementerian Kewangan dalam projek pembangunan SBEZ Bukit Kayu Hitam adalah melalui entiti milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) iaitu Northern Gateway Sdn Bhd (NGX).

“NGX selaku pemaju utama projek pembangunan hartanah DELAPAN (atau dahulunya dikenali sebagai Kota Perdana) yang meliputi kawasan seluas 1,780 hektar atau 38 peratus dari jumlah keluasan keseluruhan SBEZ Bukit Kayu Hitam,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Dato’ Wira Othman Aziz yang meminta Menteri Kewangan menyatakan status terkini SBEZ di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Sehingga Jun lalu, Yamani Hafez berkata projek pembangunan DELAPAN dalam kawasan SBEZ telah berjaya memeterai tiga perjanjian pelaburan strategik hartanah dengan nilai kumulatif bernilai RM7.2 bilion dalam beberapa projek.

Katanya, projek berkenaan ialah pembangunan Depoh Lori dan Pelepasan Dalaman oleh syarikat PKT Logistik Sdn Bhd (PKT) pada Disember 2019, pembangunan Kompleks Kilang Sarung Tangan Nitril Bersepadu oleh syarikat Hartalega Berhad (Hartalega) pada Mac 2021 dan projek Ibu Sawat Pertukaran Internet (IX) dan Pusat Data pada Disember 2021. – HARAKAHDAILY 15/8/22