Kedah Terus Melangkah Gagah Di Pentas Global – Perjanjian Pelaburan Strategik Dimeterai Di Shenzhen, China

Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Kedah, YB Dr. Haim Hilman Abdullah mewakili Kerajaan Negeri Kedah dalam satu lawatan rasmi ke Shenzhen, China, bersempena Majlis Menandatangani Perjanjian Heads of Agreement (HoA) antara Malaysia dan China.

Perjanjian ini menjadi satu titik penting dalam memperkukuh kerjasama dua hala sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.

Perjanjian pelaburan ini melibatkan pembangunan dua kawasan industri strategik di Kedah, iaitu Pentas Industrial City dan Qew Smart Integrated Industrial Park yang terletak di kawasan Delapan Special Border Economic Zone (SBEZ), Bukit Kayu Hitam. Projek ini membawa misi jangka panjang untuk memperkasa ekonomi hijau, teknologi pintar, pembuatan maju serta pensijilan halal bertaraf global.

YB Exco Pelaburan Negeri Kedah juga dalam ucapannya telah menekankan bahawa Shenzhen Special Economic Zone akan dijadikan model rujukan utama dalam membangunkan kawasan-kawasan industri strategik di Negeri Kedah, khususnya dari segi perancangan, kelajuan pelaksanaan, integrasi teknologi, dan ekosistem pelaburan yang menyeluruh. Pendekatan ini diyakini mampu melonjakkan daya saing Kedah di pentas serantau dan antarabangsa.

Delegasi Kedah turut disertai oleh agensi pelaburan negeri, Invest Kedah dan rakan strategik dari Malaysia dan China seperti AREA Real Estate Advisory, Compass IP, PROMAS, Shenzhen Government Procurement Association, Industrial Globalization Alliance dan Standard Perpetual Finance Group.

Negeri Kedah menawarkan sebanyak 40,000 ekar tanah yang merangkumi 15 kawasan industri strategik di tiga zon utama. Di zon utara, kawasan yang ditawarkan ialah Delapan Special Border Economic Zone (SBEZ), Kedah Science & Technology Park (KSTP), Bukit Kayu Hitam Halal Hub and Logistic Centre, Kedah Rubber City (KRC) dan Digital ASEAN Halal Hub.

Zon tengah pula menempatkan Gurun Heavy Industrial Park, Northern Smart Park, Bukit Selambau Industrial Park dan Kedah Aerotropolis. Manakala di zon selatan, kawasan industri melibatkan Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kulim Industrial Corridor, Padang Meha Industrial Park, Kulim East Industrial Park, North Kulim Industrial Park dan Bandar Baharu New Industrial Park.

Kesemua lokasi ini dirancang sebagai hab pelaburan berimpak tinggi yang menyokong pembangunan sektor perkilangan, teknologi hijau, logistik dan industri bernilai tambah.

Inisiatif ini merupakan pengisian daripada agenda The Greater Kedah dan menjurus kepada komitmen transformasi ekonomi jangka panjang dan masa depan industri yang lebih mampan, hijau dan pintar buat Negeri Kedah.