Kedah mahu jadi pintu masuk utama ekonomi

Bukit Kayu Hitam: Kerajaan negeri yakin pembangunan Zon Ekonomi Khas Sempadan (SBEZ) NCT Innosphere mampu melonjakkan aktiviti perdagangan dan pelaburan Malaysia-Thailand dalam pelbagai sektor.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek berteraskan Taman Perindustrian Pintar Terurus (MIP) itu menandakan kewujudan kawasan industri baharu bagi memacu perkembangan ekonomi negeri.

Katanya, SBEZ NCT Innosphere mampu menjadikan Kedah sebagai pintu utama masuk utama negara bagi aktiviti perdagangan dan logistik sempadan Malaysia-Thailand.

“Kejayaan ini hasil perancangan strategik Northern Gateway dan kepakaran NCT Innosphere bagi merealisasikan hasrat Kedah memiliki taman perindustrian elit baharu.

“Ini sekali gus akan meningkatkan daya tarikan negeri terhadap pelaburan strategik dan memacu pembangunan ekonomi pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan perasmian SBEZ NCT Innosphere, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, Exco Pelaburan negeri Dr Haim Hilman Abdullah dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT, Datuk Seri Yap Ngan Choy.

Pembangunan itu dijangka membabitkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) kira-kira RM1.1 bilion merangkumi campuran komponen perindustrian, komersial dan sokongan untuk menggalakkan aktiviti operasi, perdagangan serta pembuatan yang cekap.