KUALA LUMPUR 17 Sept – Syarikat pemaju hartanah dan penasihat pelaburan, AREA Group dilantik sebagai penasihat rasmi bagi pembangunan projek mega perindustrian ‘Two Countries, Twin Parks’ bernilai AS$20 bilion (RM83.83 bilion) yang dimeterai antara China dan Malaysia.
Projek ini membabitkan pembangunan kawasan perindustrian seluas 607 hektar di Pentas Industrial City, yang terletak dalam Delapan Special Border Economic Zone (SBEZ) di Kedah.
Inisiatif ini diterajui oleh Shenzhen Government Procurement Association (SGPA) dengan kerjasama strategik pihak-pihak utama dari Malaysia dan China.
Pengerusi Eksekutif AREA Group, Datuk Stewart LaBrooy berkata, syarikat itu akan memainkan peranan penting dalam aspek reka bentuk, pembiayaan dan pembangunan keseluruhan projek, yang disasar menjadi
taman perindustrian generasi kelima pertama di Malaysia.
“Kami bangga diberi kepercayaan sebagai penasihat kepada projek yang bakal mengubah landskap industri negara. Ini adalah sebahagian daripada visi untuk menjadikan Pentas Industrial City sebagai komponen utama dalam 1,781 hektar Delapan SBEZ,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 12 September lalu, SGPA memeterai dua perjanjian penting — Perjanjian Kerjasama Bilateral bersama Northern Gateway (NGX) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekosistem bersama Standard Perpetual Global OFC (SPG), China Sea Alliance Service Limited (CSA) dan NGX.
Perjanjian ini membolehkan pemindahan kepakaran, pelaburan teknologi tinggi serta pemodenan sektor pembuatan melalui pembinaan taman perindustrian berkonsepkan hab pengilangan pintar dan mapan.
Pentas Industrial City akan dibangunkan berasaskan konsep generasi kelima (Gen-5) yang merangkumi infrastruktur pintar, sistem IoT bersepadu, tenaga boleh diperbaharui dan cekap tenaga; model ekonomi kitaran dan amalan ESG; dan sokongan logistik pintar serta automasi industri.
Matlamat utamanya ialah untuk mewujudkan ekosistem pelaburan bersepadu yang dapat menarik syarikat teknologi tinggi dari Shenzhen dan Greater Bay Area ke Malaysia.
“Pelaburan China di Malaysia kini memasuki fasa strategik baharu yang lebih berkualiti, dengan tumpuan kepada industri bernilai tambah tinggi serta inovasi teknologi,” ujar LaBrooy.
Projek ini dijangka menjana ribuan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan dan mempercepat pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan.
Selain itu, projek ini juga meningkatkan kapasiti eksport serta menjadikan Malaysia sebagai hab industri serantau dan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK dan hasil cukai negara.
“Inisiatif ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada strategi membina rantaian bekalan ASEAN yang kukuh dan berpusat di Malaysia, sekaligus mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.