KUALA LUMPUR: AREA Group (AREA) memulakan pembangunan fasa pertama Kampus Pusat Data AREA (ADCC) di Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan, Kedah.
Usaha itu menerusi pemeteraian perjanjian jual beli membabitkan tanah berkeluasan 12.14 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan AS$2.4 bilion.
AREA berkata, syarikat bertujuan khasnya, Data Gateway Sdn Bhd hari ini memeterai perjanjian dengan pemaju utama Delapan, Northern Gateway Sdn Bhd (NGX) bagi pembelian awal 12.14 hektar daripada 63.13 hektar untuk kemudahan itu.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan AREA, Datuk Stewart Labrooy, berkata ini akan turut menjadi tapak pusat data pertama yang dijangka siap menjelang akhir 2025.
“Kami memilih tapak itu kerana akses terhadap bekalan tenaga dan air yang mencukupi, dua sumber penting bagi kejayaan pembangunan pusat data.
“Kawasan itu juga mempunyai ketersambungan kabel dasar laut yang memadai dan kini di daratan Satun dan Songkhla di seberang sempadan Thailand dan disambungkan ke tapak kami melalui pertukaran Internet yang akan siap pada 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain GDV yang dianggarkan bernilai AS$15 bilion apabila siap kelak, kawasan seluas 63.13 hektar itu berstatus pegangan bebas dan terletak dalam Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan berkeluasan 1,780.62 hektar.
Kawasan merangkumi Zon Komersial dan Perindustrian Bebas itu terletak secara strategik di hujung utara Lebuhraya Utara-Selatan dan Laluan Persekutuan Malaysia 1 yang merupakan laluan utama sempadan ke Thailand.
AREA akan menjalankan projek pembangunan khusus atau mengikut kesesuaian bagi tujuan pajakan atau penjualan jangka panjang yang bergantung kepada permintaan pelanggan.
Sementara itu, Pengarah Kanan NGX, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim, berkata Delapan berada dalam kedudukan unik untuk muncul sebagai destinasi utama bagi aset teras serta dengan gred pelaburan.
“NGX berbangga menjadi hos bagi AREA serta rakan niaga bagi pembangunan pertama kampus pusat data ini dan kekal komited untuk menarik lebih banyak projek bernilai serta berkualiti tinggi,” katanya.
Tapak pegangan bebas seluas 156 ekar di Zon 1 Timur Delapan mempunyai kemudahan bekalan air mencukupi (lebih 65 juta liter sehari) bagi menampung keperluan pusat data berkenaan.
Mengikut laporan terbitan Cushman & Wakefield mengenai landskap pusat data Malaysia, pusat-pusat berkenaan yang berskala hiper memerlukan kapasiti tenaga lebih tinggi (melebihi 50 megawatt) dan sistem penyejukan canggih dengan kos setiap megawatt di Malaysia telah melepasi AS$10 juta.
“Jika bersandarkan 50 megawatt sebagai penanda aras, jumlah kos pembangunan pusat data pada kapasiti berkenaan adalah kira-kira AS$500 juta.
“Jumlah itu termasuk komponen penting seperti sistem tenaga elektrik, sistem penyejukan/pemanasan, pengudaraan dan pendingin hawa (HVAC) serta kerangka bangunan dan pemasangan,” kata kenyataan itu.
-BERNAMA