Hartalega labur RM7 bilion bina kilang di SBEZ, Bukit Kayu Hitam, Kedah

PUTRAJAYA – Hartalega Hol­dings Bhd. (Hartalega) dijangka melabur RM7 bilion untuk membangunkan 16 fasiliti termoden pengeluaran sarung tangan dalam tempoh 20 tahun di Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, projek kilang pertama yang dijangka siap menjelang tahun 2024 itu bakal menghasilkan sehingga 80 bilion sarung tangan setahun.

“Jumlah kapasiti di fasiliti baharu ini akan menjadikan pengeluaran sarung tangan bertambah kepada 143 bilion keping setahun termasuk dari kilang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli tanah antara Hartalega NSM Sdn. Bhd. (Hartalega NSM) dengan Northen Gateway Free Zone Sdn. Bhd. (Northern Gateway) di sini semalam.

Hartalega NSM adalah anak syarikat Hartalega manakala Northern Gateway Free Zone adalah anak syarikat milik penuh Northern Gateway Sdn. Bhd. (Northern Gateway) yang merupakan pengusaha utama bagi SBEZ. Ia juga adalah entiti milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Turut hadir pada majlis ber­kenaan adalah Menteri Kewa­ngan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor.

Hartalega yang ditubuhkan sejak 1988 dan memiliki dua buah kilang di Selangor iaitu di Bestari Jaya dan Sepang itu memiliki kapasiti sebanyak 43 bilion sarung tangan lateks premium setahun.

Mun Leong menjelaskan, Kumpulan kini dalam proses me­laksanakan pelan pengembangan yang diunjurkan me­ningkatkan pengeluaran kepada 63 bi­lion sarung tangan setahun tidak lama lagi.

“Setelah projek ini siap, Hartalega bakal menyumbang hampir lima peratus kepada Kelua­ran Dalam Negara Kasar negeri Kedah serta menjana 12,000 pe­luang pekerjaan,” katanya.

Bahkan pelaburan langsung domestik itu dijangka memacu pembangunan ekonomi di Wilayah Utara di sam­ping memper­tingkatkan rantaian bekalan dan vendor.

Selain itu, beliau menegaskan, pelan pelaburan terbaharu ini, tidak akan menyebabkan berlakunya lambakan sarung tangan di pasaran antarabangsa walaupun selepas penularan wabak Covid-19 berakhir kelak.

Jelasnya, terdapat unjuran semasa yang menunjukkan trend peningkatan dalam jangka masa panjang di seluruh dunia.

“Projek pelaburan baharu ini akan memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pengeluar sarung tangan terbesar di dunia.

Kini, Kumpulan yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia sejak 2008, sudah mengeksport pelbagai produknya ke 60 buah negara.